CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, March 5, 2008

Festival Teater Kebangsaan




Festival Teater Kebangsaan
lima pasukan berentap rebut juara

Festival Teater Kebangsaan (FTM) kembali diadakan di Kuala Lumpur pada 19 hingga 28 Ogos ini. Sebelum ini, FTM yang dinamakan Pekan Teater Kebangsaan (PTK) lebih difokuskan kepada pertandingan persembahan oleh kumpulan teater dari negeri-negeri seluruh negara.
Tetapi FTM 2006 kali ini dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti seperti sidang keilmuan, berdebat, khidmat masyarakat, persembahan seni antara kaum dan bazar seni. Namun, kemuncak kepada aktiviti FTM adalah pertandingan pementasan teater bagi merebut gelaran Juara FTM 2006.
Sebanyak lima kumpulan akan berentap pada FTM kali ini yang akan berlangsung di Auditorium Pusat Pelancongan Malaysia (MTC) Kuala Lumpur.
Kumpulan tersebut adalah dari Kedah, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah dan Terengganu. kumpulan Rumpun Seni Teater dan Persembahan Anak Kolej PTPL (Rentak PTPL) dari Sabah akan mementaskan Naskhah Kerusi karya Dr. Hatta Azad Khan.
Kumpulan Sanggar Creative Production dari Sarawak pula memilih karya adaptasi berjudul Terdampar karya Slwomir Mrozek. Kumpulan KEULU dari Terengganu akan mementaskan karya baru berjudul Uraung Ulu Hatinye Luke Lagi karya Ibrahim Mohd. Taib. Kumpulan Kreatif Utama Anak Seni (KUBAS) dari Kedah pula memilih Angin Kering karya Datuk Johan Jaafar untuk dipertandingkan.
Kumpulan Resdong’s dari Pulau Pinang pula memilih naskhah Jebat karya Dr. Hatta Azad Khan. Lima kumpulan yang berjaya ke peringkat akhir itu telah melalui persaingan sengit daripada keseluruhan 14 pasukan yang bertanding di peringkat negeri dari 18 Mac hingga 16 April lalu. Nampaknya kumpulan yang berjaya ke peringkat akhir masih dipengaruhi oleh karya yang sudah popular dalam sejarah PTK.
Barangkali ini secara tidak langsung menimbulkan ‘kebosanan’ kepada penonton dan panel hakim. Bagaimanapun, daya kreatif kumpulan untuk menghayati dan melihat dimensi lain yang di luar konversional pasti memberikan kelebihan kepada mereka. Tentunya mereka memerlukan tafsiran baru terhadap naskhah tersebut.Bagi kumpulan yang mencuba karya baru atau tidak popular di kalangan aktivis teater seperti yang dilakukan oleh Kumpulan KEULU Uraung Ulu Hatinye Luke Lagi karya Ibrahim Mohd. Taib, misalnya, memerlukan kerja yang bukan sedikit.
Ini kerana mereka harus memahami dengan jelas naskhah tersebut untuk menarik minat khalayak mengikuti plot teater tersebut.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Norliza Rofli, FTM dianjurkan dengan tujuan melahirkan mutu pementasan teater yang berkualiti.
Selain itu, ia juga memberi peluang kepada para penggiat teater mempamerkan kemantapan persembahan dengan memberikan satu tahun proses persediaan dan penyertaan kepada penggiat terlibat.
“Program ini diharap dapat mengenali, berkongsi ilmu, bertukar pengalaman dan berinteraksi di kalangan penggiat teater negeri yang terlibat ke arah kemajuan kesenian antara pelbagai kaum, peringkat umur dan kerjaya.
“Tidak ketinggalan ia juga bertujuan memartabatkan dan merakyatkan teater ke arah pembangunan masyarakat berbilang kaum di negara ini,’’ kata Norliza ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Antara penggiat teater yang lahir daripada pertandingan teater sebelum ini ialah Prof. Madya Dr. Samad Salleh, Supiat Mukri, Dinsman, Megat Saiful Bahari, Datuk Johan Jaafar, Zakaria Ariffin, Prof. Mohd. Taib Osman, Kalam Hamidi, Hashim Yassin dan ramai lagi.
Menurut Norliza, pertandingan sebelum ini mendapati kualiti teater yang dipertandingkan di 14 negeri tidak begitu menyerlah.
“Kita menyenarai pendek hanya lima kumpulan itu untuk memberi peluang kepada kumpulan tersebut membuat persiapan yang mantap dan berkualiti,’’ tambahnya.
Beliau menambah, FTM kali ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM51,000 yang dibahagikan kepada 11 kategori. Johan kebangsaan akan memperoleh RM15,000, naib johan (RM10,000) dan tempat ketiga (RM8,000).
Selain hadiah bagi Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Reka Bentuk Produksi Terbaik akan menerima hadiah RM3,000 tiap seorang.
Hadiah berjumlah RM2,000 setiap satu ditawarkan kepada Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Pelakon Harapan Lelaki Terbaik dan Pelakon Harapan Wanita Terbaik ditawarkan hadiah RM1,000 setiap satu.

0 comments: